Presiden DPUKM, Datuk Seri Abu Hasan Mohd. Nor berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya akan menjenamakan semula produk-produk usahawan tempatan di bawah jenama HSM sebagai strategi pemasaran dan promosi.

Selain itu, tambah beliau, kerjasama tersebut juga bakal menyaksikan produk usahawan tempatan di bawah DPUKM dipromosi menerusi sudut galeri khas yang akan dibuka di setiap premis HSM yang akan dilaksana dalam masa terdekat.

"Usaha penjenamaan semula dan promosi di bawah HSM ini meliputi pelbagai produk dan perkhidmatan yang diusahakan usahawan kecil termasuklah makanan, pakaian, spa, kesihatan dan sebagainya yang secara tidak langsung akan menaikkan imej mereka," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mewakili DPUKM menandatangi perjanjian persefahaman (MoU) dengan HSM yang diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohd. Jailani Ab. Salam di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi HSM, Badrul Hassan Mohamed Kassim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq.

Sementara itu, Badrul Hassan berkata, pihaknya melihat DPUKM akan memberi sumbangan besar kepada proses penjenamaan semula kepada rantaian nilai pelancongan (tourism value chain) rangkaian hotel berkenaan yang sedang dilakukan pihaknya.

Ujar beliau, HSM kini sedang giat mempromosikan pelancongan luar bandar yang mana pihaknya akan menjadi induk kepada pengusaha inap desa persendirian.

"Menerusi usaha ini, kita akan membantu pengusaha inap desa dari segi pengurusan termasuk mempromosikannya di bawah HSM atas persetujuan pengusahanya dalam usaha menarik pelancong.

"Penjenamaan semula HSM itu akan turut disokong dengan produk-produk usahawan tempatan kerana kita juga mahu mengenengahkan produk tradisional Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, MoU tersebut turut memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 ahli DPUKM yang bakal mendapat keistimewaan penginapan dan platform bagi mengadakan program keusahawanan di bawah 21 rangkaian HSM seluruh negara. - UTUSAN ONLINE