Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, pihak­nya akan mengadakan perbinca­ngan dengan pihak hotel me­ngenai perkara itu supaya ia ditawarkan sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

“Kita juga berharap selepas pengumuman ini, pihak hotel akan bertindak proaktif untuk mengambil inisiatif sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program Life Saving Skills dan modul Keseda­ran Keselamatan dan Menyelamat di Air 2018 di sini hari ini.

Maszlee dilapor berkata, mulai tahun depan kegiatan kokurikulum belajar berenang bakal diperkenalkan kepada murid sekolah dalam usaha kementerian mempersiapkan mereka dengan kemahiran itu, sekali gus menangani insiden lemas.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa saranan supaya hotel menawarkan premis mereka hanya sebagai usaha kementerian untuk menambah lokasi belajar renang sekolah.

“Pelan asalnya ialah membawa mereka ke pusat-pusat sukan dan kolam renang awam. Kami cuma menggesa pihak hotel agar dapat melaksanakan tugas CSR,” katanya, sambil menambah saranan itu berikutan tidak semua sekolah dilengkapi dan berdekatan dengan kolam renang.

Ditanya sama ada aktiviti belajar renang akan dijadikan satu kokurikulum wajib katanya, ke­ra­jaan mempunyai ranca­ngan un­tuk menjadikan ia silibus wajib bermula dari prasekolah hingga sekolah menengah, namun akan mengambil masa yang panjang, memandangkan terdapat kira-kira 10,000 buah sekolah di seluruh negara. – BERNAMA