Menterinya, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata klinik bergerak itu boleh dilaksanakan menerusi program tanggungjawab sosial korporat ( CSR) hospital berkenaan.

"Menerusi klinik bergerak inilah mereka boleh mencurahkan khidmat bakti mereka kepada masyarakat yang tinggal di kawasan luar bandar atau kampung.

"Perkhidmatan ini juga sebagai usaha menangani masalah kesesakan di klinik-klinik kesihatan sedia ada selain membantu masyarakat mendapat rawatan kesihatan di peringkat awal tanpa ke klinik yang agak jauh dari penempatan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Bergerak Sutera di sini yang dikendalikan oleh Yayasan Avisena iaitu yayasan milik Avisena Specialist Hospital.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Avisena, Datuk Ibrahim Md. Yusof.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata usaha mewujudkan klinik bergerak itu dilihat mampu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk melakukan pemeriksaan kesihatan supaya dapat mengesan penyakit lebih awal.

"Seperti penyakit kencing manis, sekiranya pesakit mengetahui mereka mempunyai penyakit ini lebih awal pasti mereka akan lebih berhati-hati dalam menjaga pemakanan mereka.

"Sebab itu kita galakkan supaya adanya klinik sebegini* kita mahu hospital swasta lain mencontohi usaha yang dilakukan Avisena Specialist Hospital ini," katanya. - BERNAMA