Tindakan tersebut selepas kakitangannya itu telah didapati melanggar dasar syarikat apabila mengeluarkan komen tidak sensitif berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim dalam media sosial.

Pengarah Honda Sri Utama Auto, Wong Chee Keong dalam satu kenyataan berkata, siasatan dalaman telah disiapkan dan kakitangan tersebut didapati telah melanggar dasar syarikat dengan salah lakunya.

"Perkhidmatan kakitangan tersebut bersama Sri Utama Auto Sdn. Bhd. ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

“Kami sekali lagi memohon maaf atas komen menyakitkan yang dilakukannya. Kami akan lebih prihatin dalam menjalankan latihan dan mendidik pekerja kami untuk menanamkan nilai moral tinggi dan menghormati setiap individu pada setiap masa masa,” katanya.

Sebelum ini syarikat tersebut telah menggantung tugas Yean atas dakwaan mengeluarkan kenyataannya seolah-olah mempertikaikan tuhan kerana tidak menyelamatkan nyawa Muhammad Adib.

Menurut tangkap layar yang tular dalam media sosial, Yean didapati memuat naik komen 'Bukan kerajaan gagal..tuhan u (awak) yang gagal tidak sembuhkan Adib' ketika siaran langsung Facebook sidang akhbar Menteri Perumah Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin pada Isnin lalu selepas kematian Muhammad Adib.

Komen Yean itu menerima cemuhan ramai pihak yang kemudian mendapati dia bekerja dengan Honda Sri Utama Auto, sekali gus menyebabkan laman Facebook syarikat tersebut 'diserang' oleh warganet. - UTUSAN ONLINE