Presiden KVKM, Sani Osman berkata, tindakan itu dilihat sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua pihak khususnya rakyat di negara ini agar tidak menimbulkan rasa kebencian antara satu sama lain.

“Kita sedar manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, tetapi kita boleh fikir setiap kesilapan ini.

“Dan memohon maaf memang perkara mudah selepas melakukan kesilapan tetapi untuk memaafkan tidak semudah yang diperkatakan, jadi pada kami tindakan perlu diambil walaupun sudah minta maaf sebagai pengajaran kepada semua pihak,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Selepas mengeluarkan kenyataan menghina warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengatakan anggota tentera hanya makan dan tidur, hari ini, Yew Yin telah menulis surat permohonan maaf dan mengakui kesilapannya.

Pada 14 Ogos lalu, Yew Yin juga meminta maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan yang dibuatnya menerusi laman blognya. - UTUSAN ONLINE