FAIZAL TAJUDDIN

Pengerusi penganjur, Dr. Faizal Tajuddin berkata, perhimpunan anjuran UMNO Bahagian Pasir Salak itu diilhamkan hasil daripada hasrat orang-orang Melayu di peringkat akar umbi khususnya ahli UMNO.

Menurutnya, mereka mahu satu gerakan dicetuskan untuk membangkitkan semula sema­ngat orang-orang Melayu setelah melihat kesucian agama Islam, kedaulatan raja-raja serta hak orang Melayu dipertikaikan.

Tambah Faizal yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, perhimpunan tersebut bakal diadakan bermula pukul 8 malam dengan pelbagai pengisian khusus untuk menyedar dan membangkitkan semula semangat orang Melayu yang semakin leka.

“Orang Melayu tidak peka bahawa senario ini sedang berlaku kerana perhatian dan pemikiran mereka masih lagi dibelenggu dengan dakwaan-dakwaan me­ngenai 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan salah-urus pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Menjadi tujuan penganjur untuk mengembalikan semula perhatian masyarakat Melayu ke landasan yang sepatutnya dan seterusnya memberi kesedaran bahawa tatkala mereka masih lagi ‘berdebat’ dengan isu-isu yang masih lagi belum dibuktikan oleh mahkamah, kepentingan dan hak mereka sedang diancam,” kata­nya di sini hari ini.

Menurut Faizal, himpunan itu akan disertai UMNO bahagian yang lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan kepada perjuangan dan kepentingan orang Melayu semua peringkat.

Beliau berkata, antara pengisian program tersebut adalah bacaan sajak dan puisi, tayangan video serta disusuli dengan ucapan-ucapan tokoh-tokoh pejuang Melayu.

Katanya, selain Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Rahman, ramai lagi tokoh-tokoh besar akan bersama kita pada malam tersebut.

“Antaranya Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam; Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin; Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarikh Khan; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa,” katanya.

Faizal berkata, pada penghujung program, satu deklarasi akan diumumkan yang berhubung kait dengan kesucian agama Islam, hak serta keistimewaan orang Melayu, kedudukan raja-raja untuk disampaikan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurutnya, penganjur memilih Pasir Salak untuk orang Melayu berhimpun kerana di sini bermulanya kebangkitan perjuangan orang Melayu menentang penjajahan pada tahun 1875.

“Diharapkan program ini akan menyalakan obor perjuangan dan menyuntik semangat pahlawan Melayu di segenap pelosok negara dengan edisi-edisi peringkat negeri ataupun daerah masing-masing selepas ini,” katanya.