Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu dan Komunikasi Profesional itu, sejak mata kanannya terpaksa dibedah 23 tahun lalu, dia telah diajar untuk reda dengan ketentuan Ilahi dan hidup dengan sebelah mata sahaja.

“Sejak kecil saya sudah meneri­ma keadaan diri saya yang hanya mampu melihat dengan sebelah mata. Saya bersekolah seperti orang lain dan belajar berdikari di sebalik segala kekurangan yang saya miliki.

“Rakan-rakan bersaing dengan saya secara sihat walaupun mereka sedar dengan keadaan diri saya. Mereka amat memahami dan banyak membantu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Tuanku Canselor di sini.

Nazrul Muhaimin yang merupakan anak kedua dari empat beradik menambah, kejayaan dirinya itu adalah berkat dorongan bapanya, Abdul Aziz Sulaiman, 51, dan ibunya, Roha Saad, 49, yang tidak pernah putus asa dalam mendidik dirinya untuk berjaya hingga ke menara gading.

Malah, dia berhasrat menjadi pensyarah dalam bidang linguistik apabila ketika ini sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, seorang pelakon sitkom, Oh! My English terbitan stesen televisyen Astro, Mohd. Zhafir Muzani Mohamad, 25, turut menerima Anugerah Pelajar Cemerlang sempena konvokesyen UiTM apabila mencatatkan kejayaan memberangsangkan dalam bidang teknologi kreatif di peringkat sarjana muda universiti itu.

Dia yang membawakan watak ‘Mazlee’ dalam sitkom tersebut menganggap kejayaannya itu adalah hasil dari amalan pembahagian masa yang dilakukannya membabitkan kerjaya lakonan dan pembelajaran.

“Sebagai seorang pelajar, saya mempunyai amanah untuk belajar. Walaupun saya berlakon, fokus pada pelajaran tidak boleh abaikan... kena bahagikan masa dengan sebaik-baiknya.

“Pihak produksi dan saya be­kerjasama menetapkan jadual penggambaran selaras dengan jadual kursus saya di UiTM sejak saya masih belajar di peringkat diploma hingga tamat belajar dalam kursus peringkat ijazah sarjana muda hari ini,” katanya.