Mereka yang terdiri daripada golongan asnaf dan fakir miskin itu, sebelum ini bekerja dalam bidang pertanian, perikanan dan pengurusan di bawah program tersebut yang diperkenalkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sejak 2013.

Bagaimanapun, disebabkan beberapa masalah dihadapi pihak pengurusan, program itu terpaksa dihentikan dan kesemua peserta hilang pendapatan, malah berdepan pula kesukaran mendapatkan pekerjaan lain.

Seorang peserta, Saed Hussin Saed Mohamed, 46, berkata, dia sudah tidak bekerja sejak April tahun lalu sejurus program itu dihentikan.

Katanya, dia yang terpaksa mengambil upah sebagai pemotong rumput mempunyai tanggungan seorang isteri serta enam anak berumur dari satu hingga 17 tahun termasuk empat daripadanya orang kurang upaya (OKU).

“Jika dahulu, saya boleh dapat pendapatan tetap dalam RM1,100 sebulan tetapi kini saya tiada lagi pendapatan tetap untuk menyara keluarga. Jika ada kerja, adalah duit belanja untuk kami. 

“Disebabkan masalah, isteri saya yang menghidap barah juga sanggup membantu dengan bekerja sebagai tukang cuci demi mencari nafkah keluarga. 

“Saya sangat berharap program Rimbunan Kaseh ini dapat diteruskan semula agar nasib kami golongan asnaf tidak terabai dan kami berpeluang mendapat gaji tetap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini, baru-baru ini. 
 Sementara itu, Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, kerajaan negeri melalui MAIM akan memastikan Program Rimbunan Kaseh itu dapat diteruskan dalam masa terdekat demu membantu golongan asnaf tersebut.

Menurutnya, pihak MAIM akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk meneruskannya agar peruntukan sebanyak RM27 juta yang telah dilaburkan kerajaan tidak disia-siakan begitu sahaja.

“Justeru, MAIM telah membuat keputusan untuk memajukan semula program ini supaya ia tidak menjadi projek gajah putih dan merugikan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau projek tersebut, baru-baru ini.