Pengerusi Jawatankuasa Te­tap­ Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, peningkatan wabak HFMD dikesan di negeri ini bermula minggu ke-15 hingga ke-17 tahun ini iaitu sekitar bulan April hingga Mei tahun ini.

“Mengikut statistik setakat tempoh tersebut hingga kini (minggu ke-28) sebanyak 8,501 kes melibatkan kanak-kanak dari usia sehari hingga enam tahun dikesan dijangkiti HFMD.

“Sebanyak 568 kes melibatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dan 231 kes (13 tahun ke atas),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Siti Mariah berkata, kes wabak HFMD menunjukkan pengura­ngan setakat minggu ke-28 tahun ini iaitu pada 21 Julai lalu, namun masih di atas 300 kes iaitu di paras berjaga-jaga.

Justeru katanya, ibu bapa di­nasihatkan tidak membawa anak-anak ke kawasan orang ramai seperti pusat beli-belah dan pasar malam yang berisiko mempunyai pembawa virus HFMD.

“Virus HFMD yang dikenali dengan penyakit Coxsackie dan sejenis lagi virus boleh menyebabkan jangkitan kepada bayi dan kanak-kanak akibat terdedah kepada kuman yang ada pada susur tangan di pusat beli-belah,” katanya.

Sementara itu, sebanyak dua buah kelas prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Enam, Sabak Bernam diarahkan ditutup selama dua minggu bermula hari ini selepas enam muridnya di­sahkan dijangkiti HFMD.

Mengulas mengenai wabak demam denggi untuk tempoh sama tahun ini berbanding tahun lalu telah mencatatkan penurunan daripada 30,485 kes kepada 21,648 kes.

Sebanyak 17 kematian akibat denggi direkodkan setakat 21 Julai tahun ini berbanding tahun lepas sebanyak 51 kes dalam tempoh yang sama.