Menurut Perdana Menteri, perbuatan itu termasuk meluahkan pendapat dan pandangan tanpa fakta berasas serta tidak tepat bertujuan memburukkan ekonomi negara yang hanya akan memberi kesan terhadap pembangunan negara.

Malah tegas beliau, tindakan sedemikian juga tidak wajar diteruskan walaupun pihak berkenaan mempunyai perbezaan pendapat politik.

“Kepentingan negara tidak seharusnya dijadikan sebagai pertaruhan dalam soal politik kepartian. Ini amat penting kerana ia (kepentingan negara) mengatasi segalanya.

“Inilah yang saya harap dan rayu jangan adanya unsur-unsur demikian,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) di Dewan Rakyat hari ini yang meminta kerajaan menyatakan langkah menangani perbuatan sabotaj ekonomi oleh sesetengah pihak sehingga menyebabkan ketidakstabilan kepada negara.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, baru-baru ini negara juga hampir kehilangan pelaburan besar daripada Saudi Aramco yang bernilai sebanyak RM31 bilion disebabkan tindakan sesetengah pihak yang me­nyalurkan maklumat tidak berasas mengenai negara.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan berjaya meyakinkan syarikat minyak Arab Saudi itu dengan mengemukakan maklumat sahih dan keadaan sebenar ekonomi negara.

“Alhamdulillah, kita berjaya yakinkan mereka bahawa ekonomi Malaysia ditangani dengan begitu baik dan mendapat penarafan yang tinggi oleh badan-badan penarafan umpamanya kita dalam kategori A- yang mana hanya beberapa negara sahaja dalam kategori itu. Apa yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu itu adalah sebaliknya,” katanya.

Menjawab persoalan Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang meminta kerajaan menyatakan cara-cara mengatasi tekanan ke atas ringgit, Perdana Menteri berkata, kedudukan rizab Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$95 bilion akan terus menjadi penampan kepada turun naik ringgit yang berlebihan dalam pasaran kewangan.

Katanya, langkah ini bagi menangani penyusutan ringgit dalam jangka masa pendek bagi memastikan pasaran pertukaran mata wang asing tidak terjejas serta kegiatan ekonomi berjalan lancar.

Selain itu, menurut Najib, kerajaan juga akan terus menyediakan mudah tunai di pasaran tempatan bagi memastikan keadaan pasaran yang lebih stabil dan teratur.

“Jawatankuasa Pasaran Kewangan bersama BNM juga mengambil langkah untuk menggalakkan pasaran perlindungan nilai dan mengatasi ketidakseimbangan dalam pasaran pertukaran asing dalam negara.

“Ini termasuk memastikan penukaran hasil import dalam mata wang asing ke ringgit. Aliran perolehan mata wang asing ke dalam pasaran negara kita akan meningkatkan mudah tunai mata wang asing dalam pasaran dalam negara,” katanya.