Kejadian itu yang mencetuskan kebimbangan ramai mendorong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Ong Ah Teong membuat laporan polis Balai Polis Jalan Patani di sini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang menggesa orang ramai yang terbeli pisang yang mempunyai jarum tersebut segera membuat laporan polis.

Katanya, berdasarkan laporan, kejadian itu dikesan berlaku petang semalam berdasarkan maklumat yang diterima menerusi kiriman aplikasi WhatApps.

" Kiriman WhatApss berkenaan mendakwa seorang lelaki menemukan jarum dalam pisang yang dibeli di Fettes Park di mana pembantu rumah terkena jarum berkenaan," katanya di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani, berdasarkan mesej yang tular juga, beberapa individu mendakwa membeli pisang di Pasar Jelutong dan Pasar Batu Lanchang yang turut dimasukkan jarum.

Sementara itu, Ah Teong berkata, beliau menerima terlalu banyak panggilan berhubung perkara berkenaan sejak dua hari lalu.

“Kita berharap polis dapat menjalankan siasatan adakah kejadian ini benar atau ada pihak yang cuba mengganggu ketenteraman awam atau berniat untuk mensabotaj peniaga sempena Pesta Sayur yang diraikan penganut Buddha," katanya. - UTUSAN ONLINE