Baginda bertitah, kedua-dua piagam itu menuntut perpa­duan sesama umat Islam perlu diperkukuhkan justeru perpaduan sesama rakyat pelbagai agama dan kaum wajib disuburkan.

Titah baginda, perkara itu amat penting dalam hasrat membina kehidupan yang damai lagi harmoni serta membangunkan negara yang aman makmur.

“Piagam Madinah digubal dengan wawasan yang jauh, mengunjurkan realiti komposisi penduduk dunia yang bakal dihadapi pada masa hadapan manakala Perlembagaan Merdeka pula digubal berasaskan realiti komposisi rakyat yang begitu pelbagai di mana setiap seorangnya diberikan jaminan keadilan, perlindungan dan hak.

“Oleh itu, ketika negara me­nyambut ulang tahun tarikh kemerdekaan, ketika rakyat memperingati tarikh penubuhan sebuah negara Malaysia yang berdaulat, aman, makmur lagi sejahtera, dan ketika kita menzia­rahi peristiwa Hijrah, selamilah, hayatilah semangat perpaduan yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah, begitu juga Perlembagaan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Tahun 1440 Hijrah/2018 Masihi di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Dalam majlis itu, Penasihat Umum Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ahmad Awang, 82, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah tahun ini manakala kartunis terkenal, Datuk Mohd. Nor Khalid atau lebih popular dengan nama Datuk Lat, 67, dipilih sebagai Tokoh Ar-Ridzuan.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, pakej umrah bernilai RM7,000, pingat, plak dan sijil.