Presiden Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, sempena bulan kemerdekaan, rakyat perlu memupuk semangat setiakawan dan perpaduan antara kaum.

Hal demikian kerana, katanya, negara tercinta ini dibina dengan asas bersama-sama melibatkan kaum lain yang turut mengikuti rombongan Tunku Abdul Rahman sewaktu delegasi ke London bagi menuntut kemerdekaan.

"Sewaktu itu, kaum Melayu, Cina dan India semuanya bekerjasama membangunkan negara dan kita tidak boleh menafikan sumbangan kaum lain untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa yang membangun, maju, stabil serta berkembang pesat sehingga hari ini.

"Soal politik itu lain, itu cerita politikus sahaja melaga-lagakan pemimpin dan kaum kerana kuasa bukan soal kaum, kalau kerana kaum, rakyat pelbagai kaum di negara ini telah pun hidup sejak sekian lama dalam satu negara aman damai dengan Rukun Negara kita," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Syed Mohammad Faiz berkata, semua kaum bekerja ke arah membangunkan tanah air ini dan mempertahankan kestabilan ekonomi sehingga Malaysia pada hari ini dapat mengecapi kemajuan seiring dengan negara luar.

"Jadi, dalam hal ini kita tidak boleh mengetepikan sumbangan rakyat pelbagai kaum di negara ini, peranan yang dimainkan setiap warganegara perlu dihormati dan dikenang.

"Jika melakukan kesalahan jenayah misalnya, ada undang-undang jelas tidak kira kaum, kedudukan dan status pun. Kalau salah tidak boleh dikaitkan dengan kaum kerana yang salah itu adalah orang bukan kaum," katanya.

Jadi katanya, pertahan keharmonian kaum yang terjalin sejak sekian lama ini dan terus bekerjasama bagi memastikan negara tercinta ini semakin berkembang maju serta rakyat hidup dengan aman serta damai. - UTUSAN ONLINE