Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kesimpulan awal itu dibuat berdasarkan tingkah laku haiwan liar itu yang dipercayai ada kena-mengena dengan serangan virus, ‘canine distemper’ yang lazimnya dibawa oleh kucing dan anjing domestik.

Katanya, haiwan yang terkena serangan virus ‘canine distemper’ akan mengalami masalah kecelaruan minda hingga seolah-olah sukar membuat perbezaan.

“Tabiat semula jadi harimau tentunya tidak akan menolak daripada membaham atau sekurang-kurangnya menampar manusia.

“Sebab itu kita rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan Awang Besol. Boleh jadi juga tingkah laku tersebut merupakan kecacatan yang dialami daripada kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Syarahan Umum bertajuk ‘Mengharungi Cabaran Pengurusan Hidupan Liar Masa Hadapan’ di Auditorium Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar.

Menurut Abdul Kadir, sampel darah haiwan liar itu telah dihantar ke makmal dan laporan terperinci mengenainya dijangka siap dua minggu lagi.

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan selepas Awang Besol ditembak ubat pelali dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu mendapati harimau seberat hampir 130 kilogram berkenaan mengalami masalah dehidrasi.

Katanya, Awang Besol kini dikuarantinkan di Pusat Konservasi Harimau di Sungkai, Perak dan difahamkan ia sudah makan dan minum di samping bersama pasangan. - UTUSAN ONLINE