Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad berkata, program tersebut merupakan inisiatif pihaknya ke arah mempromosikan gaya hidup sihat dan mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya yang menyebabkan pelepasan gas karbon monoksida hingga mencemar alam sekitar.

“Ini juga selaras dengan hala tuju MBSA untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

“Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan untuk memeriahkan program ini antaranya pelepasan peserta bagi aktiviti riadah seperti berbasikal, berjalan kaki, zumba, persembahan Kombo MBSA dan pemeriksaan kesihatan percuma,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shahrin menambah, bagi menarik penyertaan orang ramai, pihaknya juga menyediakan permainan wall climbing, cabutan bertuah, kostum paling kreatif, perpustakaan bergerak dan food truck serta jualan pokok dan baja kompos.

Jelasnya lagi, selain itu, turut diadakan program Family Integrity Walk MBSA dan Jom Picnic Dhuha yang menampilkan Ustaz Zul Pandan, Doktor Hadi Celemans dan kumpulan Tazkers.

“Pada masa sama, MBSA mengharapkan kerjasama daripada orang ramai dan pemilik bangunan sekitar pusat bandar untuk mengambil maklum mengenai jalan-jalan yang akan ditutup sepanjang program ini iaitu Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan), Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai pada 2 September ini mulai 06.30 sehingga 09.30 pagi,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE