Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamaluilail bertitah, tugas para anggota ini amat mulia dan disanjung tinggi oleh segenap lapisan masyarakat.

Titah baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, keamanan dan keselamatan merupakan dua perkara yang tidak boleh dikompromi dan ia merupakan asas kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara tercinta ini.

“Pada kesempatan ini, Saya mewakili seluruh ahli delegasi dari negeri Perlis mengucapkan tahniah dan penghargaan di atas segala pengorbanan para anggota dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab memelihara keamanan dan keselamatan perairan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat bercemar duli berbuka puasa bersama anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di atas kapal Auxilliary Bunga Mas Lima di perairan Kudat di sini, malam tadi.

Terdahulu pada sebelah siang, Tuanku Syed Faizuddin yang mengetuai delegasi 25 orang terdiri daripada ketua-ketua jabatan kerajaan negeri Perlis dalam lawatan ke Sabah sempena Op Pasir 2018 telah melawat empat pulau yang menempatkan pos pasukan keselamatan.

Baginda yang meluangkan masa hampir satu jam masing-masing di Pulau Mandi Darah; Pulau Tigabu; Pulau Malawi dan Pulau Balambangan turut menyampaikan sumbangan kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas itu.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pengawasan di perairan dan juga di pulau-pulau di negeri ini merupakan operasi yang dapat memperkukuhkan situasi atau keadaan keselamatan secara keseluruhannya di kawasan tanggungjawab.

“Insya-Allah saya yakin pengawasan ini dapat menghindarkan segala usaha oleh elemen-elemen atau anasir-anasir tertentu untuk menguasai kawasan perairan negara di Timur Sabah ini,” titah baginda.

Sementara itu, baginda bertitah,

ancaman yang dihadapi bersifat bukan tradisional dan keganasan oleh penceroboh selain penculikan, penyeludupan serta perdagangan manusia di kawasan perairan perlu sentiasa diberikan tumpuan.

“Jadi para anggota hendaklah sentiasa dalam keadaan bersedia, memahami dan mengenal pasti semua bentuk ancaman yang boleh berlaku di pulau-pulau yang menjadi sasaran utama musuh,” titah baginda. - UTUSAN ONLINE