Harga dipamerkan hendaklah dalam jumlah sebenar perlu dibayar termasuk tambang asas, caj syarikat penerbangan, cukai atau fi dikenakan kerajaan seperti yang tertakluk di bawah undang-undang bertulis dan surcaj bahan api.

Arahan paparan harga muktamad itu dibuat selepas Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamarudin Jaffar mengumumkan pindaan terbaharu kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) dalam majlis perasmian aplikasi mudah alih FlySmart oleh Suruhanjaya Penerbangan (Mavcom)

Menurut beliau, pindaan tersebut akan menghapuskan caj tersembunyi seperti bayaran kad dan yuran pebtadbiran sementara caj tambahan perkhidmatan lain perlu dipaparkan ke dalam harga muktamad semasa membuat pembayaran.

“Mavcom mendapat banyak maklum balas pengguna dan hasil pindaan MACPC akan mempertingkatkan lagi perlindungan hak pengguna penerbangan.

“Justeru, penguatkuasaan pindaan tersebut akan memberi impak secara langsung kepada pengguna apabila dilaksanakan Mavcom pada 1 Jun nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, jika perlu membuat pemulangan bayaran, caj dan fi yang telah dibayar perlu dipulangkan sekali kepada pengguna dalam tempoh 30 hari dari tarikh permohonan bayaran balik.

“Syarat berkenaan terpakai bagi tiket penerbangan yang dibeli melalui ejen pelancongan, justeru syarikat perlu memulangkan semula bayaran kepada ejen dalam tempoh tersebut.

“Pemulangan hendaklah dibuat tanpa mengira tiket yang dibeli mempunyai nilai bayaran balik ataupun tidak dan membenarkan caj lima peratus bagi tiket yang tiada nilai bayaran balik,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE