Anggota MyCC, Prof. Dr. Saadiah Mohamad berkata, pihaknya akan meneliti sama ada penggabungan operasi antara dua buah syarikat itu memberikan kesan yang buruk dan menunjukkan sebarang bentuk antipersaingan.

Katanya, isu ini perlu ditangani memandangkan Uber yang menamatkan operasinya di Malaysia secara rasmi pada Ahad lalu telah menimbulkan rasa kebimbangan dalam kalangan pengguna.

“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan Grab dan akan memantau proses penggabungan itu sepenuhnya dengan kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) jika terdapat sebarang penyalahgunaan kedudukan dominan seperti dalam Seksyen 10 Akta Persaingan 2010.

“MyCC melihat isu ini dari segi kesan daripada penggabungan tersebut, sebarang perbuatan yang boleh menyekat persaingan terutamanya jika terdapat aduan orang ramai mengenai harga yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadiri Forum Memperkukuhkan Persaingan menerusi Kajian Pasaran anjuran MyCC di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE