Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, meskipun kajian tersebut dijangka selesai pada penghujung bulan lalu, sebarang keputusan masih belum dapat dibuat kerana pihaknya sedang mengambil kira pelbagai aspek ketika ini.

Oleh sebab itu, katanya, pihaknya sedang mengadakan perbincangan lanjut bersama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bagi mencari penyelesaian yang sesuai dan terbaik untuk semua pihak.

"Harga siling tidak semestinya seratus peratus baik dan oleh sebab itu kerajaan perlu memikirkan manfaat penumpang yang menggunakan penerbangan dalam dan luar negara setiap tahun.

"Masalah kenaikan harga siling boleh berlaku pada waktu puncak musim penggunaan penerbangan, jadi segala perkara yang berkaitan masih dalam pertimbangan, soal SST juga belum dibuat apa-apa keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran AeroFile, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengenai kajian harga siling tiket penerbangan yang dijangka selesai pada hujung bulan Julai.

Pada masa yang sama, Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga bercadang untuk mengenakan  SST ke atas empat produk baharu termasuk tiket penerbangan domestik yang tidak termasuk dengan kawasan luar bandar. - UTUSAN ONLINE