Menurut beliau, sekiranya bekas Menteri Pertahanan itu mempunyai butiran tersebut, Hishammuddin seharusnya menyerahkan kepada kerajaan.

“Satu kenyataan yang menarik daripada Hishammuddin untuk cari Jho Low tetapi kalau beliau ada maklumat saya harap dapat diberikan kepada kerajaan sebab itu cara terbaik untuk bawa pulang ahli perniagaan itu yang diperlukan untuk siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Hishammuddin berkata, beliau secara peribadi akan membantu mencari Jho Low bagi menyelesaikan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelas Ahli Parlimen Sembrong itu, beliau akan menggunakan hubungannya sebelum ini dengan pemimpin-pemimpin China untuk mencari Jho Low sekali gus membawanya pulang bagi berdepan muka pengadilan.

Mengulas lanjut, Khairy berpandangan, perkara seumpama itu perlu melibatkan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan China.

“Sepatutnya ia tidak menjadi satu usaha peribadi, malah harus dibuat antara kedua-dua kerajaan,” katanya

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan usaha Hishammuddin bagi membantu mencari ahli perniagaan kontroversi itu sebagai tindakan yang baik.

“Bagus kerana apa yang Hishammuddin boleh buat untuk bawa balik Jho Low, baguslah.

“Semua orang mahu tahu juga di mana dia. Kalau beliau ada ruang, saya ingat bagus lah sebab kita hendak mengetahui cerita sebenarnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE