Malah katanya, majlis kenduri kahwin dengan panggilan seramai 1,500 tetamu yang dirancang diadakan di rumah di Taman Damai, Mentaloon di sini hari ini, juga terpaksa dibatalkan selepas pemergian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.

“Perasaan sedih itu hanya Allah yang tahu. Sebagai bapa, saya begitu teruja untuk menikahkan sendiri anak perempuan saya di hari bersejarahnya itu.

“Nampaknya hari ini, kami hanya memenuhi jemputan majlis perkahwinan di rumah jiran sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 27 November lalu, Muhammad Adib, 24, kritikal selepas dibelasah sekumpulan perusuh ketika tiba di kawasan kuil berkenaan bagi memadam satu kebakaran kereta.

Selepas 21 hari dirawat, Muhammad Adib bagaimanapun telah meninggal dunia pada pukul 9.41 malam pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN) selepas tahap kesihatannya kembali merosot akibat kecederaan dalaman yang dialaminya

Pemergian Muhammad Adib diratapi rakyat di seluruh negara dengan mereka yang paling terkesan kehilangan insan tersayang itu sudah tentunya ibu, bapa dan tunang anggota bomba itu.

Berhubung keadaan Nurul Najihah ketika ini, Mohd. Radzi memberitahu, anak kedua daripada sembilan beradik itu dilihat semakin baik malah sudah mahu keluar rumah dan memandu kereta berbanding sebelum ini, hanya berkurung di dalam bilik serta menangis.

Bagaimanapun katanya, Najihah masih belum bersedia untuk bertemu dengan orang ramai kerana memerlukan masa untuk menenangkan fikiran.

“Najihah yang bekerja di sebuah syarikat di Shah Alam itu juga mengambil cuti tanpa gaji selama dua bulan untuk berehat di kampung halaman.

“Alhamdulillah, keadaan Najihah nampak semakin baik selepas kami mengadakan majlis tahlil dan doa selamat buat arwah di surau bagi mengantikan majlis pernikahan dan perkahwinan pada Khamis lalu," katanya.

Sementara itu, Mohd. Radzi berkata, meskipun masih bersedih dengan pemergian Adib yang disifatkan sebagai seorang yang baik, mereka sekeluarga tetap reda dengan ketentuan Allah itu.

“Hubungan kami dengan keluarga Adib tidak akan terputus kerana kami sudah menganggap mereka seperti saudara sendiri," katanya. - UTUSAN ONLINE