Menjelaskan kekeliruan akibat beberapa laporan media, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, usul yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini berhubung Perkara 119 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun sahaja.

“Usul ini tidak melibatkan apa-apa cadangan untuk pendaftaran pengundi secara automatik.

“Apa-apa usul mengenai pendaftaran pengundi secara automatik akan melibatkan pindaan kepada Perkara 119, khususnya Perenggan (4)(b) Perlembagaan Persekutuan. Pindaan ini adalah berbeza dari usul pindaan mengenai penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azhar Azizan pagi ini dipetik berkata kepada media bahawa pindaan pendaftaran warganegara berusia 18 tahun ke atas secara automatik sebagai pengundi boleh dilakukan secara serentak dengan pindaan penurunan had umur mengundi.

Namun, beliau tidak menyatakan ia akan dilakukan oleh kerajaan dalam usul cadangan menurunkan had umur kelayakan pengundi hari ini. - UTUSAN ONLINE