Tangkap layar status Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Dawai mengenai operasi penghantaran air oleh Pas yang diarah diberhentikan hari ini. - UTUSAN ONLINE

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pegawai SADA melalui arahan pihak atasan telah mengarahkan tangki syarikat itu yang digunakan oleh lori yang disediakan oleh Pas untuk membantu penduduk sejak dua hari lalu itu dipulangkan.

Dalam masa sama, Muhammad Sanusi juga menyifatkan amat malang bagi rakyat Kedah kerana berada di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sombong.

"Elok-elok saja lori tangki Sekretariat Wakil Rakyat Pas berkhidmat membantu menghantar bekalan air kepada orang ramai yang terputus bekalan... Kami diarahkan berhenti pula selepas dua hari beroperasi.

"Arahan menghentikan operasi lori tangki daripada Sekretariat Wakil Rakyat Pas Kedah diterima tengah hari ini, hanya kerana satu gegantung yang tertulis Bantuan Bekalan Air Sekretariat Wakil Rakyat Pas Kedah. Itu saja salahnya.

"MP (Ahli Parlimen) Merbok dari PKR letak gegantung di lori yang dia biaya menggunakan peruntukan kerajaan kepada Ahli Parlimen, tak ada masalah apa pun," katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pas negeri mengambil inisiatif mengutip wang sesama pemimpin parti itu untuk menyewa lori bagi tujuan penghantaran bekalan air tersebut di kawasan terjejas teruk seperti Tanjung Dawai dan Merbok.

Tambah Muhammad Sanusi, hal seperti itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana mereka hanya membantu penduduk.

"Kami akan ikhtiarkan caranya supaya lori tangki membawa air kepada orang ramai di Merbok itu dapat terus beroperasi... Selagi ada jalan, kerja amal ini akan terus berjalan. Menyekat jalan-jalan kebaikan seumpama menahan limpahan air bah... Kamu akan hanyut!.

"Atas alasan apa arahan ini dibuat? Saya tak tahu selain daripada alasan gegantung itu kerana lori kita juga mengambil air dari sumber yang sama dengan 40 lori lain yang sedang beroperasi," katanya.- UTUSAN ONLINE