Abdul Aziz berkata, sebagai seorang yang mendalami Perlembagaan, beliau hanya menerangkan dari sudut undang-undang bahawa tiada masalah untuk kerajaan negeri melaksanakan manifesto Pakatan Harapan Perak di bawah teras tiga iaitu Keadilan Sosial dan Demokrasi.

Katanya, teras tersebut menggariskan untuk memberikan ta­nah hak milik kekal bukan sahaja kepada kampung baharu tetapi juga kampung tersusun dan pe­ne­roka Felda di mana kedua-duanya mempunyai majoriti penduduk Melayu.

“Percanggahan pendapat de­ngan Menteri Besar hanya me­ngenai sudut Perlembagaan, bukan soal pemberian hak milik tanah kerana saya percaya beliau juga sependapat untuk menunaikan manifesto secara keseluruhannya.

“Saya hanya menjelaskan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 91(5) yang tidak menyebut soal halangan kerajaan negeri memberikan hak milik kekal kepada penduduk kampung baharu, kampung tersusun dan peneroka Felda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis korban sempena Hari Raya Aidiladha Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Media Pe­rak di Asrama Anak Yatim Darussalam di Kampung Melayu Sungai Rapat di sini hari ini.

Ahmad Faizal turut hadir dalam majlis tersebut.

Mengulas lanjut beliau berkata, isu tersebut telah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menjadikan ia sebagai isu perkauman meskipun beberapa penjelasan telah dibuat sebelum ini.

Katanya, isu kampung baharu terus disebut-sebut tanpa disertakan kampung tersusun dan pe­neroka Felda yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu.

“Saya bukanlah pejuang bagi masyarakat Cina untuk mendesak pajakan 999 tahun kepada kampung baru. Ini silap dan tidak timbul soal saya membela kaum Cina.

“Malah, Menteri Besar sendiri mengesahkan tiada sebarang tekanan daripada mana-mana pihak berhubung soal tanah ini. Jadi, tohmahan mengenai saya mendesak beliau hanyalah propaganda jahat pembangkang,” katanya.