Ketua PKR Cabang Kangar, Noor Amin Ahmad

berkata, kenyataan Haniza bahawa langkah mengumpul tanda tangan menyokong Anwar sebagai membuang masa menunjukkan beliau tidak mendengar dengan teliti kenyataan media yang dibuat berhubung perkara tersebut.

"Tujuan kenyataan media dibuat baru-baru ini adalah untuk menangkis dakwaan PKR berpecah. Memang ada sedikit perbezaan dan itu adalah lumrah politik.

"Tapi kami tetap bersatu menyokong Anwar untuk menerajui PKR dan bertekad memperkukuh Pakatan Harapan (PH) berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui PH sebelum ini.

"Haniza mungkin terlewat sikit bersetuju dengan pembentukan PH. Maka, boleh difahami jika dia terlewat lagi bersetuju dengan resolusi pemukiman. Saya fikir elok beliau tidak campur soal ketua cabang dan teruskan tumpu kepada wanita," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Haniza menyifatkan tindakan untuk mengumpulkan tanda tangan pemimpin parti di peringkat bahagian di seluruh negara bagi menyokong kepemimpinan Anwar sebagai membuang masa.

Ini kerana menurutnya, jawatan Presiden parti yang dipegang Anwar adalah merupakan hasil kemenangan tanpa bertanding dalam pemilihan parti lepas.

Sebelum itu, Noor Amin yang juga Ahli Parlimen Kangar mendakwa lebih 90 peratus atau 197 daripada 219 Ketua Bahagian PKR di seluruh negara menyokong kepemimpinan Anwar dan menafikan berlaku perpecahan dalam parti itu.

Noor Amin mendakwa, semua ketua bahagian itu telah dihubungi dan tanda tangan pengesahan mereka turut diperolehi berdasarkan perakuan mereka yang menandatangani resolusi Majlis Pemukiman Pimpinan PKR di Port Dickson pada 21 Julai lalu.- UTUSAN ONLINE