HAMZAH ZAINUDIN
HAMZAH ZAINUDIN

Di dalam ucapan penggulungannya pada perhimpunan itu, Hamzah memetik hadis Nabi Muhammad SAW untuk menjelaskan isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan kepada perwakilan.

Memetik laporan The Star, Menteri Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan itu berkata, isu berkaitan kenaikan harga barang telah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

Bagaimanapun, kata Hamzah, Nabi Muhammad tidak mengatakan mengenai menurunkan harga barang tetapi meminta supaya tidak campur tangan dalam pasaran bebas.

“Baginda tidak berkata secara spesifik mengenai pasaran bebas, tetapi itulah yang baginda cuba terangkan kepada pengikutnya.

“Apabila kita bercakap mengenai pasaran bebas, kita mesti berlaku adil kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Katanya, Malaysia ketika ini mengamalkan apa yang dikatakan Nabi Muhammad dan melaksanakan prinsip asas ekonomi pasaran bebas.

Hamzah juga kesal apabila media tertentu dan pemimpin pembangkang cuba memutar belit penerangan beliau itu dengan mendakwa kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk mengenal pasti isu kos sara hidup dengan menyerahkannya kepada ‘kehendak tuhan’.

“Hakikatnya, harga barangan di negara kita ketika ini adalah yang terendah di Asia Tenggara.

“Itu menunjukkan bahawa kita mengawal harga dengan baik. Kita sebenarnya berlaku adil apabila melihat kepada kedua-dua pihak, peniaga dan pengguna,” katanya.