Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) berkata, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas juga seharusnya menyambut baik langkah Hamas untuk berbincang dengan Fatah bagi mewujudkan perdamaian antara kedua-dua pihak.

"Kami mengalu-alukan perkembangan positif ini serta berharap Mahmoud mengambil keputusan sewajarnya untuk mengakhiri perselisihan faham antara Fatah dan Hamas.

"Langkah itu adalah penting bagi memastikan aspirasi rakyat Palestin untuk beroleh kebebasan dan kemerdekaan dapat dicapai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Hamas mengumumkan langkah-langkah yang diambil pihaknya bagi mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat Palestin.

PCOM menambah, perselisihan faham antara Hamas dan Fatah selama ini hanya menguntungkan rejim zionis Israel yang didakwa sengaja mencetuskan krisis tersebut bagi membolehkan mereka terus menindas serta menzalimi rakyat Palestin.

"Kami juga amat menghargai galakan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap usaha menyatupadukan rakyat Palestin," jelasnya. - UTUSAN ONLINE