Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, Guan Eng sebenarnya berhak mengambil tindakan menerusi agensi yang berada di bawah kuasa kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri boleh arah pentadbir tanah daerah untuk ambil tindakan terhadap mana-mana kilang yang dibangunkan secara haram di negeri berkenaan.

"Kalau dah dia kata tak ada kuasa untuk ambil apa-apa tindakan terhadap kilang-kilang haram yang berleluasa di Pulau Pinang, maknanya Ketua Menteri tak faham apa tugas dan tanggungjawabnya," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak pembinaan Taman Komuniti Kampung Melayu Kluang, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Esa Ahmad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Nasri Md. Ali.

Semalam, Guan Eng mendakwa Kerajaan DAP Pulau Pinang 'tidak mempunyai kuasa' untuk menghentikan operasi kilang memproses serbuk kayu di Kampung Sungai Lembu, Penanti yang didakwa tidak memiliki lesen sejak 10 tahun lalu. -UTUSAN ONLINE