Itulah senario bagi menggambarkan betapa tipisnya penanda aras kebanyakan masyarakat Melayu beragama Islam di negara ini dalam menentukan sama ada sesebuah restoran itu berstatus halal ataupun sebaliknya.

Suka atau tidak, itulah rea­litinya malah masih ramai yang tidak menyedari kebanyakan restoran asing khususnya menawarkan menu Jepun dan Korea yang kini menjadi kegilaan ramai termasuk orang Melayu tidak memiliki status halal.

Tinjauan Mingguan Malaysia di beberapa pusat membeli-belah sekitar ibu kota turut mendapati banyak restoran seumpama itu tidak menggantung serta memaparkan logo atau sijil perakuan halal pada pintu masuk premis walhal di dalamnya penuh de­ngan pelanggan beragama Islam.

Jika ada pun, hanya sekadar papan tanda no pork dan no alcohol yang jelas belum mampu bagi menjamin taraf halal sesuatu sajian, sedangkan banyak lagi elemen yang wajar diragui bagi seorang pengguna Islam termasuk bahan digunakan dalam penyediaan hidangan ditawarkan.

Zilah Othman
Zilah Othman 

Dalam pada itu, seorang pengurus restoran, Zilah Othman yang sudah lama berke­cimpung dalam perniagaan makanan Jepun mendedahkan, makanan Jepun secara tradi­sinya mempunyai resipi tersendiri termasuk penggunaan arak atau alkohol sebagai penambah perasa.

Jelasnya secara terperinci, tiga jenis arak yang wajib ada dalam masakan Jepun dikenali sebagai mirin, sake dan cuka tidak halal.

“Lebih 90 peratus restoran Jepun di negara ini dipercayai masih mengekalkan tradisi mereka de­ngan menggunakan alkohol dalam pembuatan sushi serta beberapa jenis makanan lain dan hukum memakan makan tersebut jelas haram bagi umat Islam,” katanya

“Penggunaan tiga bahan tersebut cukup terkenal terutamanya dalam proses penyejukan sushi. Bahan itu akan digaul sebati sekali gus menjadikan makanan tersebut lembap, cukup rasa (masam manis) dan enak,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambahnya, beberapa makanan lain yang berasal dari negara matahari terbit itu juga boleh disifatkan sebagai syubhah antaranya ramen dan Chuka Idako (anak sotong kurita).

“Proses penyediaan ramen Jepun kebiasaannya menggunakan air rebusan lemak khinzir atau ayam. Bagi Chuka Idako, kita mendapati pembekal dari Jepun mengelaskan bahan tersebut kepada dua kategori iaitu halal dan tidak halal,” ujarnya.