Menurut kenyataan Tabung Haji di sini, pihak Mobily akan memberikan satu kad prabayar kepada setiap jemaah haji Malaysia semasa di stesen berlepas sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Kata kenyataan itu, kad prabayar tersebut hanya boleh diaktifkan di Mekah dan Madinah sahaja di mana para jemaah dikehendaki membawa sim kad serta lencana pengenalan diri.

“Petugas Mobily akan mengimbas jari jemaah haji di kaunter Mobily yang akan dibuka di setiap bangunan penginapan.

“Bagi jemaah haji Malaysia yang ingin menggunakan kad prabayar syarikat telekomunikasi lain, pendaftaran telah diselaraskan dengan hanya menunjukkan lencana pengenalan diri jemaah haji sahaja,” katanya di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, ia bagi memudahkan para jemaah kerana pasport mereka akan diambil dan diserahkan kepada pihak Muassasah semasa tiba di Arab Saudi.

Katanya, peraturan Kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan setiap seorang jemaah haji mempunyai satu talian juga hendaklah dipatuhi.

Tambahnya lagi, setelah pengaktifan kad prabayar Mobily dilakukan, jemaah haji hendaklah menambah nilai kredit kepada akaun yang didaftarkan serendah SAR5 (RM5.51) bagi mendapatkan dua gigabait data percuma selama tiga hari mengikut keperluan masing-masing.

“Kiosk Mobilly di bangunan penginapan juga menyediakan perkhidmatan tambah nilai dan gantian kad sim. Tabung Haji dan Mobily berharap perkhidmatan yang disediakan ini dapat membantu jemaah haji menghubungi keluarga dan saudara mara mereka di Tanah Air,” ujarnya.

Untuk makluman, terdapat pelbagai pilihan kad sim prabayar yang dijual oleh syarikat telekomunikasi di Arab Saudi seperti Mobily, Saudi Telecommunications Company (STC), Zain dan lain-lain.

Menurut kenyataan tersebut, selain itu, bagi jemaah yang tidak mempunyai telefon bimbit, syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) akan meneruskan perkhidmatan i-Talk yang membolehkan jemaah membuat panggilan ke tanah air pada kadar berpatutan iaitu SR1 (RM1.10) seminit.

“Tabung Haji ingin mengingatkan kepada jemaah haji untuk tidak membeli kad sim prabayar daripada agen tidak bertauliah di Terminal Haji, tempat rehat dan rawat atau sekitar bangunan penginapan jemaah haji,” ujarnya.

- *Tamat* -