Beliau berkata, penyertaan remaja atau belia remaja dalam persatuan secara tidak langsung akan menjadikan mereka sebagai pemimpin barisan hadapan mengurus persatuan itu mengikut acuan mereka sendiri.

“Saya menyokong keputusan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 yang mengubah had umur belia dari 40 tahun ke 30 tahun.

“Sebenarnya syor pindaan tersebut bukan sesuatu yang baru. Ianya sudah lama dibincangkan dan dalam beberapa platform yang lepas, saya telah menyatakan pandangan perlunya takrifan belia dikaji semula. Saya telah menggunakan takrifan belia remaja (15-25) dan belia dewasa (26-40) dalam beberapa ucapan serta penulisan saya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pada Rabu lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 diluluskan selepas dibahaskan hampir lima jam oleh 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang selepas RUU itu dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain menurunkan had umur, pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian berkata ketika beliau berumur 22 tahun dan berada pada tahun akhir pengajian di universiti, beliau menyampaikan pidato Aspirasi Belia dan pandangannya mengenai kejanggalan bagi seorang yang bukan lagi berada dalam kelompok usia belia tetapi masih menjadi Presiden Majlis Belia Sabah.

“Saya juga menyatakan aspirasi belia yang berada dalam usia 30-an, 20-an dan belasan tahun sangat berbeza dan itu boleh menjadi jurang kepada penyertaan belia dalam persatuan kerana “common of interest” yang tidak sama.

“Sehingga hari ini, saya masih berpendapat seseorang yang berusia 36 tahun seperti saya tidak lagi sesuai untuk memimpin atau mengetuai kelab belia yang dianggotai majoriti berusia belasan tahun atau awal 20-an,” katanya.

Menurutnya, jika itu berlaku, mereka yang berusia belasan tahun dan awal 20-an akan lebih banyak menjadi pemerhati atau pengikut berbanding menjadi barisan depan kepada kelab mereka yang banyak berlaku sehingga hari ini.- BERNAMA