Jika dilihat kepada perancangan Kementerian Pendidikan untuk tahun 2019, tahun baharu ini boleh dianggap sebagai tahun yang menjanjikan seribu satu harapan buat para guru.

MOHAMAD AZIRUN ABDUL GHAFAR
MOHAMAD AZIRUN ABDUL GHAFAR 

Sekurang-kurangnya, itulah yang dirasakan seorang guru muda, Mohamad Azirun Abdul Ghafar, 25, yang berharap bermula tahun hadapan, isu beban tugas bukan hakiki guru dapat diringankan oleh kerajaan.

Tidak mahu ketinggalan memberikan cadangan, dia mengharapkan sistem pengurusan pelajar di sekolah boleh dirombak dan diperkemas supaya ia tidak membebankan guru.

Memulakan kerjayanya di sebuah Kolej Vokasional, beliau mengakui tugasnya lebih tertumpu kepada urusan pemfailan dan perkeranian.

NORSILA MD. YASIN
NORSILA MD. YASIN 

“Apa kata kita contohi sistem di universiti yang mana urusan pemfailan profil pelajar dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar tanpa mengganggu tugas pensyarah. Melainkan urusan akademik, itu memang perlu diuruskan oleh guru,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sedikit berbeza dengan guru muda, seorang guru yang berpengalaman 30 tahun, Norsila Md. Yasin, 52, hanya mahukan kerjayanya tahun hadapan boleh diharung dengan lebih seronok dan gembira.

“Semoga tahun 2019 akan membawa kecemerlangan kepada dunia pendidikan. Diharapkan para pendidik lebih berdisiplin, tingkatkan prestasi dan menjadikan kerjaya guru sebagai ibadah yang ikhlas,” katanya ringkas. - UTUSAN ONLINE