Meja tersebut bukan disediakan khas semata-mata ketika lawatan menteri, tetapi telah disusun sedemikian apabila paras air banjir yang melanda sekolah itu separas paha bagi tujuan pelajar dan guru berjalan masuk ke dewan peperiksaan daripada kenderaan yang mengangkut mereka.

Oleh itu Setiausaha Akhbar Mahdzir Khalid, Datuk Mohd. Razman Yaacob menjelaskan, tidak timbul isu menteri sayang kasut kerana meja berkenaan sememang disusun di pekarangan sekolah itu untuk digunakan guru dan pelajar ketika mereka dipindahkan dari kenderaan yang mengangkut mereka ke dewan peperiksaan.

"Tidak timbul isu seperti ditularkan iaitu menteri sayang kasut, takut air kerana meja itu bukan disediakan khas untuk beliau ketika lawatan itu. Lawatan tersebut juga tiada dalam jadual beliau kerana kebetulan berada di Pulau Pinang, beliau menyatakan hasrat untuk melawat calon yang menduduki peperiksaan SPM di sekolah itu," katanya di sini hari ini.

Gambar Mahdzir berjalan di atas meja di sekolah yang dilanda banjir itu telah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan pelbagai persepsi untuk memburuk-burukkan imej beliau.

Mengulas lanjut kata Mohd. Razman, pihaknya kesal dengan fitnah berkenaan termasuk tindakan netizen yang menularkan perkara itu tanpa asal usul.

"Fitnah daripada pihak tertentu ini adalah tidak wajar. Kita kena fikir dahulu sebelum menabur fitnah. Tanpa maklumat sahih jangan sebarkan," katanya. - UTUSAN ONLINE