Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata, kerajaan dan Kementerian Kewangan dirayu memberi kelonggaran agar pembayaran gaji pada bulan depan dapat diawalkan untuk persiapan akhir meraikan perayaan tersebut.

“Jika dilihat Surat Pekeliling Akauntan Negara, gaji Disember dibayar pada 24 Disember ini bermakna sehari sebelum sambutan perayaan Krismas pada 25 Disember ini.

“Kerajaan dirayu memberi ruang untuk membuat persiapan akhir selain mempermudahkan persediaan pembukaan sekolah tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, persediaan awal bagi keluarga berpendapatan sederhana dan mempunyai anak ramai amat penting kerana melibatkan sumber kewangan terhad khasnya bagi guru dan kakitangan awam yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

“Mereka bukan berpendapatan tinggi dan perlu membuat perancangan dengan teratur, sumber kewangan mereka juga adalah terhad,” katanya. - UTUSAN ONLINE