Dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang, Nur Aini Ruslan, 29, cedera digigit sebesar lapan sentimeter di bahagian pinggang di sebelah kiri serta mengalami pendarahan dalaman.

Ekoran kejadian itu, dia terpaksa menjalani pembedahan bagi mengeluarkan darah beku ketika menjalani rawatan selama enam hari di Hospital Pantai di sini, bermula sehari selepas kejadian.

"Saya menaiki kuda untuk dibawa bersiar-siar dengan bayaran 150 baht (RM19) bagi mengelilingi pantai, namun, ketika berada di hujung pantai dan ingin berpatah balik, tiba-tiba ada seekor kuda lain menyerang saya dari belakang sehingga menyebabkan saya tertiarap bersama kuda yang ditunggang.

"Saya meraung sekuat hati apabila digigit dan dihempas berkali-berkali ke pasir selama hampir dua minit, namun, saya bersyukur kerana tidak dipijak," katanya ketika ditemui di Hospital Pantai di sini hari ini.

Menurut Nur Aini, pemilik kuda berkenaan bagaimanapun membantunya dengan menjelaskan bil pesakit luarnya di Hospital Songkhla bagi rawatan membersihkan luka, suntikan rabbies dan tetanus serta antibiotik.

Tambah Nur Aini, dia difahamkan, kuda yang menyerangnya itu baru lagi dijinakkan untuk membawa pelancong bersiar-siar di pantai.

"Saya memanggil sidang akhbar untuk berkongsikan pengalaman saya berdepan kejadian ini kerana penting untuk kita mengambil insurans apabila hendak melancong ke luar negara.

"Mujur kos rawatan saya sebanyak RM14,000 di sini ditanggung oleh pihak insurans," katanya. - UTUSAN ONLINE