Ashawani Che Ahmad, 45, berkata, dalam masa sehari dia bersengkang mata menjahit sendiri pakaian itu.

Katanya, ini merupakan tahun kedua dia menggayakan pakaian itu setiap kali ada acara sambutan di sekolahnya.

“Kos baju ini tidak mahal apabila saya hanya menggunakan tiga keping bendera yang setiap satunya berharga RM4.90. Manakala, di dalamnya saya menggunakan kain alas.

“Saya memang bersemangat bab patriotik kerana saya guru Sejarah serta mahu menerapkan nilai-nilai murni dan unsur patriotisme kepada pelajar.

“Saya juga sering menggalakkan pelajar untuk memakai pakaian bendera Jalur Gemilang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Selain itu, dua pelajar perempuan sekolah itu, Nor Zakirah Sukri, 14, dan Siti Norainsyah Che Rosli, 13, turut memakai pakaian sama.

Nor Zakirah berkata, mereka berdua berpakat memakai baju kurung Jalur Gemilang pada tahun ini.

Katanya, mereka mengupah ibu seorang rakannya untuk menyiapkan pakaian itu.

“Kami rasa bangga pakai baju kurung bendera dan berharap menjadi contoh untuk membangkitkan semangat patriotik kepada pelajar lain,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi guru sekolah itu, Nazilah Mohd. Mudzrabi, 34, berkata, sambutan Hari Kebangsaan di SMK Tengku Bendahara meriah pada tahun ini apabila semua guru wanita memakai tudung bercorak Jalur Gemilang.

Katanya, seramai 40 guru wanita berpakat membeli tudung itu selepas melihat jualan di laman sosial Facebook.

“Kami semua mengambil kesempatan untuk menunjukkan kebersamaan kami sebagai rakyat Malaysia dan guru satu sekolah.

“Kami semua bersepakat untuk membeli tudung yang sama untuk menunjukkan semangat kekitaan sempena Hari Kebangsaan ke-62 tahun ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE