Presiden Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan-Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Che Ani Mat Zain berkata, langkah tersebut perlu disegerakan kerana hukuman sedia ada terlalu ringan sehingga tidak mengundang rasa gerun kepada penceroboh yang terus mengulangi kesalahan sama.

CHE ANI MAT ZAIN
CHE ANI MAT ZAIN 

Kata beliau, akta sedia ada berkaitan perikanan negara perlu dipinda, bagi memperkenalkan undang-undang yang lebih berat kepada pelaku.

“Jika masih ditangguh, saya risau hasil laut negara akan musnah sehingga tiada apa lagi yang tinggal buat generasi akan datang.

“Ada tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa, kompaun yang dikenakan kira-kira RM2,000. Tahan hari ini, esok mereka sudah boleh beroperasi seperti sedia kala dan kembali melakukan pencerobohan lagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini, melaporkan rintihan nelayan Kuala Sungai Baru di sini yang kadang-kala pergi ke laut pulang dengan tangan kosong selain pendapatan bulanan pula hanya cukup-cukup makan antara RM500 sehingga RM600.

Itu nasib ditempuh oleh kira-kira 200 orang nelayan di Kuala Sungai Baru pada masa ini, apabila kawasan penangkapan ikan di Zon A iaitu kira-kira 3.6 kilometer dari pantai berkenaan diceroboh oleh nelayan bot siput retak seribu.

Golongan itu mendakwa operasi bot siput retak seribu yang disyaki dilakukan nelayan warga asing telah mengakibatkan pencemaran dan sekali gus mengurangkan hidupan laut di persisiran.

Tambah Che Ani, pencerobohan pukat tunda menjadi antara punca nelayan pantai ini terpaksa mengubah cara tangkapan tradisional dengan menggunakan alat-alat tangkapan terlarang.

“Apabila kawasan tangkapan mereka telah musnah dan hancur, tidak ada ikan lagi untuk ditangkap. Jadi mereka terpaksa buat kerja yang terlarang (menggunakan alat tangkapan haram),” katanya.

Sementara itu, Che Ani memberitahu, pihaknyamenerima aduan tertinggi mengenai pencerobohan bot pukat tunda dan siput terutama di Pulau Pinang, diikuti Kedah dan Perlis selain Selangor.

“Kerajaan tidak boleh menyalahkan komuniti nelayan mengenai rungutan mereka, sebaliknya perhatian yang serius wajar diberikan dalam usaha membela golongan tersebut,” katanya.- UTUSAN ONLINE