Joseph Kurup
JOSEPH KURUP

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, cadangan itu juga tidak akan menyentuh kepercayaan dan ajaran agama yang dianuti serta terus menghormati peranan institusi raja-raja Melayu sebagai payung kedaulatan negara, pelindung agama Islam serta adat Melayu yang memberi naungan secara saksama kepada setiap warganegara tanpa mengira kaum serta agama.

Katanya, skop dan parameter AKN yang digunakan merupakan panduan semata-mata agar sesi konsultasi terarah kepada mengenal pasti cadangan peruntukan agar tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan atau bertindih dengan mana-mana peruntukan sedia ada.

“Input dan pandangan yang diperoleh hasil daripada sesi konsultasi yang merangkumi agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil bertujuan mendapatkan pandangan, cadangan dan maklum balas akan terus dimantapkan dari semasa ke semasa agar cadangan menggubal AKN memberi manfaat kepada rakyat dalam menjamin keharmonian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Amin­uddin Yahaya semalam bahawa Ummah yang mewakili lebih 300 NGO Islam membantah sekeras-kerasnya penggubalan AKN yang menggugat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. - UTUSAN ONLINE