Perdana Menteri berkata, langkah tersebut juga dilaksanakan bagi menyelamatkan ekonomi negara agar tidak terjerumus dalam kancah kegawatan ekonomi walau apa juga persekitaran global termasuk kejatuhan harga minyak.

Kata beliau, agensi-agensi penarafan termasuk Fitch dan Moody's juga telah membuat kesimpulan bahawa pengekalan ekonomi Malaysia pada kategori A adalah kerana keberanian kerajaan memperkenalkan GST.

“Bukan niat kerajaan untuk membebankan rakyat, malah kalau kita lihat dari segi prestasi serta kadar pertumbuhan pendapatan, golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) mendapat pendapatan lebih tinggi daripada kumpulan-kumpulan lain.

“Dengan adanya sumber-sumber kewangan termasuk GST, kita boleh melaksanakan pengagihan pendapatan. Kalau tiada sumber kewangan, dari mana kita akan dapat sumber kewangan untuk melakukan pengagihan yang memerlukan pertolongan lebih dari kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-36 dengan tema Persekitaran Perniagaan yang Selamat Untuk Pembangunan Ekonomi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Lee Chee Leong; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan bahawa kerajaan tidak mempunyai cadangan untuk menaikkan kadar GST yang telah ditetapkan pada kadar enam peratus.

Beliau berkata, kadar GST Malaysia yang diperkenalkan sejak 1 April 2015 adalah antara terendah di dunia dengan jumlah barangan serta perkhidmatan terbanyak yang dikecualikan cukai berke­naan.

Katanya, jumlah GST yang berjaya dipungut pada tahun lalu adalah sebanyak RM44 bilion berbanding RM41 bilion pada 2016.

“Walaupun dalam perbentangan Bajet 2018 lalu,  saya umumkan jumlah GST yang dapat dikutip adalah sebanyak RM43.8 bilion pada tahun ini, tetapi mungkin kutipan ini boleh mencecah RM45 bilion.

“Sebuah kerajaan hanya akan menjadi kerajaan yang meme­nuhi aspirasi rakyat jika ia mempunyai sumber ekonomi yang stabil. Sebab itu kerajaan telah mengambil langkah tepat menerusi GST.

“GST adalah sumber kewangan yang dapat membolehkan kerajaan melaksanakan program untuk rakyat. Apabila kita melaksanakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ia melibatkan sebanyak kira-kira RM6 bilion setahun. Ini adalah disebabkan sumber kewangan negara stabil,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah berjaya mengurangkan ketirisan hasil dan sentiasa mempertingkatkan jumlah kutipan hasil pada setiap tahun.

Pada tahun lalu sahaja, beliau memberitahu, JKDM telah berjaya menyelamatkan hasil lebih RM1 bilion melalui kejayaan mematahkan cubaan penyeludupan beberapa komoditi seperti ken­deraan, rokok dan minuman keras.

“JKDM telah menunjukkan peningkatan penyampaian dan perkhidmatan dari tahun demi tahun serta memuji anggota jabatan tersebut yang tidak pernah menyerah diri sama sekali dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Malah, saya yakin dan percaya dalam apa juga keadaan, walaupun ditekan dan diugut dan kereta dibakar, anggota kastam tidak akan mengundur diri tetapi sebaliknya bertambah kuat lagi semangat untuk menjalankan tugas seperti diamanahkan,” katanya.