Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kemampuan cukai itu menyelamatkan ekonomi negara telah membuatkan beberapa pemimpin pembangkang sendiri sehingga hari ini tidak sepakat tentang keputusan menerima atau menolak sistem GST.

Jelasnya, kutipan GST sebanyak RM41 bilion yang dikutip membolehkan kerajaan menampung banyak perbelanjaan yang diperlukan untuk kepentingan rakyat.

“Kerajaan minta, agar sudah-sudahlah GST dipolemikkan sebagai isu politik, kerana terbukti cukai ini menjadi penyelamat kepada ekonomi kita tahun ini.

“Hakikatnya, apa yang telah kerajaan lakukan (memperkenalkan GST), terakam dalam sejarah sebagai langkah berani yang terbukti kebenarannya.,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018, di Dewan Rakyat, hari ini.

Di dalam Bajet 2018, Najib mengumumkan beberapa cadangan menambah baik pelaksanaan GST antaranya, cukai berkadar sifar terhadap bahan bacaan diseragam dan diperluaskan meliputi semua jenis majalah, komik, journal dan terbitan berkala mulai 1 Januari 2018.

Selain itu ialah pelepasan GST sepenuhnya diberi ke atas perkhidmatan pembinaan bangunan sekolah dan rumah ibadat, yang dibiayai melalui sumbangan derma yang diluluskan, berkuat kuasa bagi kontrak perkhidmatan pembinaan yang ditandatangani mulai 1 April 2017.-UTUSAN ONLINE