Bekas Perdana Menteri itu malah memberitahu keputusan PAC itu sekali gus 'membela' dirinya daripada tohmahan yang dilemparkan terhadap Ahli Parlimen Pekan berkenaan.

Jelas Najib, wang bayaran balik GST itu telah digunakan untuk urusan pentadbiran kerajaan seperti kos, pentadbiran, perkhidmatan rakyat dan juga pembangunan Kementerian Kewangan.

"Ini adalah kaedah amat sesuai, perkara ini juga dilakukan di negara-negara lain termasuk Singapura. Jadi, mustahil ada penyelewengan, mustahil ada rompakan. Sama sekali!

"Apa yang dilakukan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Dewan Rakyat adalah tuduhan serius. Sebab itulah sebagai parti, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membuat laporan untuk Guan Eng disabitkan kesalahan oleh jawatankuasa berkenaan," Katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

PAC dalam rumusan yang dikeluarkan semalam memutuskan kutipan wang cukai GST berjumlah RM19.4 bilion disahkan tidak dirompak oleh kerajaan terdahulu sebaliknya digunakan untuk tujuan membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Rumusan itu didapati selepas memulakan prosiding mengenai perkara berkenaan pada 12 September tahun lalu dengan 10 prosiding yang berjalan selama 11 bulan dan memanggil 10 orang saksi. - UTUSAN ONLINE