Jumlah itu menunjukkan pening­katan pendapatan sebanyak 88.34 peratus atau RM12.81 bilion berbanding semasa pelaksanaan SST pada tahun sebe­lumnya.

Secara keseluruhannya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengutip cukai sebanyak RM51.15 bilion pada tahun lepas.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad yang menyifatkan pelaksanaan GST itu sebagai berjaya berkata, ia adalah hasil kerjasama erat antara kesemua agensi kerajaan yang terlibat.

Katanya, kerjasama itu akan diteruskan untuk mencapai sasaran kutipan GST yang ditetapkan pada tahun ini iaitu RM39 bilion.

‘‘Kastam berpuas hati dengan kerjasama pihak peniaga dengan pendaftaran sebanyak 409,000 syarikat manakala rakyat pula sudah mula memahami tentang GST.

‘‘Kita yakin masih banyak peniaga yang memenuhi syarat seperti hasil perniagaan mele­bihi RM1,400 sehari tetapi belum mendaftar GST.

‘‘Ingin saya tegaskan bahawa tiada peniaga yang ‘gulung tikar’ ekoran pelaksanaan GST kerana sistem cukai itu tidak akan me­ningkatkan kos,’’ katanya dalam sidang akhbar sempena Me­syuarat Pengarah-pengarah Kastam Kali Ke-79 di Hotel Putra Regency di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili.

Dalam pada itu, Khazali menyeru seluruh masyarakat agar menyertai peraduan Jom Minta Resit GST yang dilancarkan agensi terbabit baru-baru ini.

‘‘Ini bertujuan menggalakkan masyarakat memahami hak mereka sebagai pembeli ketika berbelanja.

‘‘Kita tidak mahu lagi timbul isu peniaga memberi pilihan harga belian kepada pembeli iaitu dengan atau tanpa resit.

‘‘Hadiah-hadiah menarik menanti peserta dan cabutan pertama akan dilakukan pada Jun ini,’’ katanya lagi.