Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, meskipun keputusan melaksanakan GST bukan satu keputusan yang popular, kerajaan meletakkan kepentingan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

“Ramai pakar ekonomi memberitahu saya, seandainya Malaysia tidak laksanakan GST tahun sudah dalam senario luaran yang begitu lemah dan tidak menentu, hari ini Malaysia akan menghadapi krisis kewangan dan ekonomi yang amat serius.

“Walaupun kita dikritik hebat oleh sesetengah pihak yang menggunakan ini sebagai senjata politik tetapi lama-kelamaan, semakin ramai rakyat sedar bahawa langkah tersebut adalah penyelamat kepada ekonomi negara,” katanya ketika berucap dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2015 Perbendaharaan Malaysia di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Tegas Najib, ketidaktentuan ekonomi global yang berpunca daripada kejatuhan harga minyak dunia, penguncupan ekonomi China dan cadangan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah adalah faktor-faktor yang di luar kawalan kerajaan.

“Namun ini bukan alasan untuk kita tidak mengawal keadaan dalaman dan membuat keputusan-keputusan yang tepat untuk menyumbang dan mendorong pemacuan ekonomi meskipun faktor luaran mengancam atau menekan prestasi ekonomi negara,” katanya.

Beliau memberitahu, kutipan GST yang mencatatkan jumlah sebanyak RM27.01 bilion tahun lalu dijangka meningkat kepada RM39 bilion pada tahun ini.

Katanya, kerajaan tetap me­mulangkan hasil berkenaan kepada rakyat dengan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan projek-projek utama termasuk pembinaan Transit Aliran­ Massa (MRT), Lebuh Raya Pan Borneo dan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Tambahnya lagi, hasil yang kukuh juga menjamin kenaikan gaji penjawat awam dapat terus dilaksanakan serta menyumbang kepada pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh negara.

“Hasil yang kukuh dan stabil menyumbang kepada ekonomi yang lebih berdaya tahan dan menentukan kesejahteraan rakyat terus terbela,” katanya.