Bagaimanapun, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, beliau yakin serta bersetuju jika GST dikekalkan kerana banyak manfaat yang boleh kerajaan lakukan untuk pendidikan negara.

Katanya yang juga bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), untuk PTPTN sahaja, kerajaan wajib memastikan dana di antara RM3 bilion hingga RM4 Bilion setahun untuk menampung kira-kira 200,000 pelajar baharu serta 600,000 pelajar sedia ada di universiti dan juga menggunakan sebahagian wang bagi membayar semula pinjaman dari institusi kewangan.

“Jumlah ini hanya mengambil kira pelajar yang mendapat dana daripada PTPTN. Justeru, saya tidak berapa yakin dengan pandangan Ahli Parlimen Kangar bahawa dengan mengekalkan GST, kerajaan boleh memberikan pendidikan percuma dan menghapuskan PTPTN. RM3.5 Bilion sebenarnya tidak cukup untuk pendidikan percuma,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad yang berpendapat sistem GST yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mampu menawarkan pendidikan percuma jika dikekalkan termasuk pemansuhan hutang pinjaman PTPTN.

Noor Amin malah mengakui bahawa sistem GST adalah lebih cekap daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Mengenai pemberian pendidikan percuma, beliau memberitahu, jika dilihat, kutipan GST pada tahun lalu sebanyak RM42 bilion dan daripada jumlah tersebut hanya perlu digunakan 0.5 peratus atau RM3.5 bilion untuk melaksanakannya.

Tambah Shamsul Anuar, kerajaan PH juga mesti bersikap adil kerana pelajar yang mendapat pembiayaan Jabatan Perkhidmatan Awam, Majlis Amanah Rakyat (Mara) , dana kerajaan negeri dan pelbagai institusi serta syarikat milik kerajaan (GLC) juga perlu dibantu.

“Jika ini diambil kira, ini bermakna jumlah kewangan yang perlu kerajaan sediakan pasti berganda. Itu baru dilihat dari aspek ini, malahan, tidak lagi diambil kira perbelanjaan lain. Jadi kiraan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kangar pada saya tidak berapa tepat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE