Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, sehubungan itu, golongan tersebut perlu mempunyai jati diri dan pegangan agama yang teguh.

Titah baginda, dalam hal ini, pendekatan yang harmoni seperti dialog meja bulat dan dakwah perlu digerakkan bagi menangani sebarang kekeliruan dan kemusykilan yang berlaku.

“Ada yang mempromosikan hak dan kebebasan yang terlampau sehingga menghina syariat agama, adat, budaya dan tatasusila dalam kehidupan,” titah baginda.

Teks titah Tuanku Syed Sirajuddin itu disampaikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat bercemar duli sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Ke-12 di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menganugerahkan sijil kepada seramai 1,412 orang graduan lulusan diploma dalam pelbagai bidang.

Tuanku Syed Sirajuddin seterusnya bertitah mengingatkan bahawa selaras dengan perubahan lanskap pentadbiran dan kepimpinan kerajaan baharu di negara ini, para graduan harus bangkit daripada status quo.

Titah baginda, golongan itu perlu menyahut cabaran mencorakkan generasi rakyat yang kritis, bermentaliti kelas pertama dalam tindakan dan mengambil bahagian secara aktif dalam pemulihan institusi dan sistem pentadbiran negara. - UTUSAN ONLINE