Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa berkata, graduan masa kini akan berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu seperti kecerdasan buatan (artificial intelligence), ekonomi secara digital dan Revolusi Perindustrian Keempat yang akan menjadi titik tolak dalam memajukan pembangunan negara.

"Sebagai contoh, bajet pendidikan negara ketika ini secara purata meliputi 20 peratus dalam bajet keseluruhan, lebih banyak daripada mana-mana negara bagi meningkatkan lagi taraf pendidikan generasi baharu.

"Dengan keadaan ekonomi yang berbeza dalam 30 tahun akan datang, ini menjadi cabaran untuk para graduan menggunakan pendidikan yang mereka peroleh bagi memastikan masalah seperti kebajikan dan kemiskinan ditangani dengan lebih baik pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel utama dalam Majlis Perjumpaan Graduan Cemerlang Tahun 2017 tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di Serdang, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE