Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Muhammad Faizuddin Mohd. Zai berkata, selain itu, cabaran ekonomi negara membuatkan industri tidak mampu untuk menggaji graduan universiti berbanding anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan gaji yang lebih rendah.

“Kajian dikeluarkan oleh pensyarah kanan Universiti Malaya (UM), Dr. Lee Hwok Aun berkata hanya 1.8 peratus pemohon pekerjaan Melayu yang diterima untuk ditemuduga oleh syarikat Cina berbanding pemohon berbangsa Cina iaitu sebanyak 44 peratus.

“Kelemahan graduan bumiputera untuk menguasai bahasa Mandarin dan bahasa-bahasa lain juga menjadi salah satu faktor pengangguran dalam kala­ngan graduan bumiputera agak tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas Laporan Tinjauan Ekonomi Kementerian Kewangan 2019 yang mengatakan bahawa graduan bumiputera mempunyai kadar pengangguran yang lebih tinggi daripada rakan sebaya yang tidak mempunyai pendidikan tinggi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengangguran graduan bumiputera yang tinggi berbanding yang tidak melanjutkan pelajaran adalah disebabkan beberapa faktor iaitu graduan, industri dan ekonomi semasa.

“Ada graduan yang terlalu memilih pekerjaan atau mengharapkan gaji permulaan yang terlalu tinggi di samping mahukan pekerjaan yang berstatus tetap dan tidak bersifat sementara atau kontrak.

“Tetapi pihak majikan turut mendapati bahawa walaupun mereka mempunyai kelayakan akademik, graduan tersebut tidak memenuhi tahap minimum yang dikehendaki dari segi kemahiran berfikir, berkomunikasi, mencuba sesuatu yang baharu, berinovasi atau kesediaan mengadaptasi dengan apa sahaja situa­si di tempat kerja,” katanya.

Tambah Ahmed Razman, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang semakin perlahan turut menyebabkan peluang pekerjaan tidak sebanyak dahulu.