Sumbangan tersebut dikutip melalui penganjuran sukan Golf Amal Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan di Kelab Golf Kota Kinabalu di sini kelmarin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Jaujan Sambakong berkata, penganjuran program itu amat baik kerana menunjukkan usaha agensi kerajaan membantu masyarakat yang menghadapi bencana agar diringankan beban mereka.

“Saya harap sumbangan ini walaupun tidak terlalu banyak tetapi mampu membantu mangsa kebakaran dan telah diserahkan kepada wakil masing-masing.

“Setiap kampung akan menerima RM10,000 dan gunalah wang ini dengan sebaik mungkin, kerajaan juga akan sentiasa berusaha membantu serta menyelesaikan masalah setiap mangsa itu,” katanya ketika berucap dalam majlis penutupannya.

Sebanyak 120 peserta yang datang dari semua agensi di bawah kementerian termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) menyertai golf amal berkenaan.

Sementara itu, dalam ucapannya, Jaujan berharap kelab rekreasi itu turut terlibat menganjurkan program gotong-royong amal bersama masyarakat untuk memupuk nilai-nilai kebersihan dalam kalangan rakyat.

“Saya tidak mahu program amal itu hanya dengan bersukan kerana sebagai PBT kita harus memberikan contoh yang baik kepada masyarakat dengan menggalakkan mereka bergotong-royong membersikan kawasan tempat tinggal masing-masing.

“Kalau sukan golf kita tahu pesertanya banyak golongan elit jadi kenapa tidak individu ini terlibat juga dalam gotong-royong, sudah tentu rakyat akan gembira dan bersemangat kerana melihat contoh yang amat bagus diberikan,” katanya. - UTUSAN ONLINE