Seorang usahawan, Zainal Muhammad, 53, berkata, harga jualan dan sewa kedai yang mahal menyebabkan kebanyakan peniaga di sini menyewa gerai milik Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH).

ZAINUL MUHAMAMD
ZAINUL MUHAMAMD 

Katanya, dianggarkan hanya 10 unit kedai sahaja di kawasan pelancongan ini dimiliki oleh peniaga bumiputera berbanding jumlah peniaga di sini.

“Harga kedai di sini terlampau mahal malah ada sehingga RM500,000 atau lebih mahal lagi. Peniaga pasti tidak mampu membeli atau menyewa dan ini akan membantutkan usaha mereka mengembangkan perniagaan.

“Oleh itu, jika boleh Mara bina premis di sini agar lebih ramai peniaga dapat menyewa lot-lot perniagaan. Kita bukan mahu percuma, cuma kadar sewanya murah dan berpatutan mengikut kemampuan peniaga,” katanya di sini hari ini.

AMNAN FAKRI
AMNAN FAKRI 

Bagi usahawan muda, Amnan Fakri Othman, 32, cabaran utama peniaga bumiputera di sini adalah kadar sewa premis yang tinggi, jumlah premis terhad dan mencari lokasi premis yang strategik.

Menurut pemilik Restoran Taman Epal Cameron itu, kesukaran mendapatkan premis perniagaan yang bersesuaian menyebabkan ada dalam kalangan peniaga terpaksa berniaga di tepi jalan.

Sementara itu, Amin Farhan Othman, 23, berkata, dia yang baharu sahaja memulakan perniagaan dalam bidang iklan dan percetakan terpaksa menyewa kedai dengan kadar bulanan RM1,800.

“Kebanyakan peniaga hanya mampu menyewa kedai kerana untuk membelinya memang tidak mampu,” katanya.