Nik Saiful Adli Burhan
NIK SAIFUL ADLI BURHAN

Pengerusinya, Nik Saiful Adli Burhan berkata, perkara itu boleh dilaksanakan menerusi pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, pengasingan kuasa itu bertujuan supaya SPRM mempunyai ruang yang selesa untuk menyiasat dan mendakwa kes tanpa mengira kedudukan politik dan pangkat individu.

“Jika hari ini, kes SPRM boleh digugurkan oleh Peguam Negara, bagaimana pula jika suatu masa nanti mana-mana Peguam Negara hendak disiasat dan dituduh di mahkamah oleh suruhanjaya berkenaan?

“Adakah secara tidak langsung ini akan memberikan kekebalan kepada peguam berkenaan yang akan melebihi imuniti Raja-raja Melayu?” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang melepas dan membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon daripada dua pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa berhubung pembelian banglo di bawah harga pasaran.

LIM GUAN ENG
LIM GUAN ENG

Mengulas lanjut, Nik Saiful Adli berkata, keputusan itu adalah selaras dengan kuasa mutlak yang diberikan kepada Peguam Negara melalui Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan iaitu untuk memulakan, menjalankan dan memberhentikan mana-mana prosiding kesalahan di mahkamah.

Namun, jelas beliau kerisauan timbul apabila undang-undang memberikan kuasa mutlak kepada Peguam Negara tanpa ada mekanisme yang jelas mengenai kawalan ke atas kuasa-kuasa tersebut.

“Berbanding dengan kuasa Hakim di mahkamah, kita ada kaedah rayuan ke peringkat lebih tinggi dan sebarang keputusan tertakluk kepada semakan kehakiman. Namun, tidak dalam kuasa Peguam Negara,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE